
Ditulis oleh Fazrina Fezili
KUALA LUMPUR: Suku pertama 2024 menyaksikan peningkatan ketara dalam pelancaran kediaman baharu, dengan fokus utama pada rumah berharga di bawah RM300,000. Data dari Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), mengesahkan bahawa kategori ini paling banyak dilancarkan, memenuhi permintaan yang tinggi untuk rumah mampu milik.
Menurut Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta JPPH, Abdul Razak Yusak, 36.3% atau 2,028 unit daripada rumah baharu yang dilancarkan pada suku pertama tahun ini adalah dalam julat harga di bawah RM300,000. Ini menunjukkan usaha pemaju hartanah untuk memenuhi keperluan pasaran semasa.
Selain itu, rumah dengan harga antara RM300,000 hingga RM500,000 merangkumi 22.1% atau 1,236 unit, manakala rumah berharga antara RM500,001 hingga RM1 juta sebanyak 33% (1,844 unit), dan rumah melebihi RM1 juta sebanyak 8.6% (477 unit).
Dari segi pelancaran mengikut negeri, Johor mencatat jumlah tertinggi dengan 1,819 unit, diikuti oleh Selangor dengan 1,479 unit dan Pahang dengan 692 unit.
Secara keseluruhan, pelancaran rumah baharu pada suku pertama tahun ini berjumlah hampir 5,600 unit, meningkat 19% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Prestasi jualan juga mencatatkan kadar 20% atau 1,119 unit yang terjual.
"Aktiviti pembinaan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dengan jumlah projek yang mula dibina meningkat kepada lebih 21,300 unit, berbanding hampir 20,000 unit pada tempoh yang sama tahun lalu. Peningkatan hampir lapan peratus ini mencerminkan perkembangan positif awal bagi sektor hartanah negara. Walau bagaimanapun, pembangunan baharu yang dirancang berkurang sedikit, kepada sekitar 11,000 unit berbanding hampir 13,000 unit pada suku pertama 2023," jelas Abdul Razak dalam taklimat media Pasaran Harta Suku Pertama 2024 yang diadakan secara atas talian.
Selain itu, jumlah unit kediaman siap yang tidak terjual pada suku ini menunjukkan penurunan yang signifikan. Unit siap dibina yang tidak terjual menurun kepada hampir 24,000 unit dengan nilai RM16.5 bilion, berbanding hampir 26,000 unit bernilai RM17.7 bilion pada suku sebelumnya.
Walaupun begitu, terdapat sedikit peningkatan bagi unit siap dibina yang tidak terjual untuk service apartment, sebanyak 5% dari segi bilangan dan hampir 10% dari segi nilai, dengan jumlah mencecah 21,000 unit bernilai hampir RM18.2 bilion.
"Unit pangsapuri perkhidmatan berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta merupakan penyumbang terbesar, iaitu 58 peratus daripada jumlah keseluruhan," tambah Abdul Razak.
Pada suku pertama, unit kediaman siap tidak terjual yang paling banyak adalah rumah berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta, dengan 29.4% atau 7,111 unit bernilai RM4.77 bilion. Rumah berharga di bawah RM300,000 juga mencatatkan 28.6% unit kediaman siap tidak terjual dengan 6,933 unit bernilai RM1.47 bilion.
Perak mencatatkan jumlah unit rumah siap tidak terjual tertinggi dengan 4,588 unit, diikuti oleh Johor (3,629 unit), Kuala Lumpur (3,194 unit), dan Selangor dengan 3,011 unit.
Arikel Berkaitan: